h1

Doktrin babi yang menyusahkan umat islam Maszlee Malik, UIAM.

May 6, 2007

*penulis bersama Ustaz mazlee di konvensyen sunnah di Penang tahun 2006

Doktrin babi yang menyusahkan umat islam Maszlee Malik, UIAM.


Umat islam melalui para mujtahidinnya telah berijmak bahawa daging babi adalah haram untuk dimakan seperti yang telah dikatakan oleh Ibn Mundhir dalam bukunya “Kitab al-Ijma’” (Lihat : al-Husni, Kifayatul Ahyar, Beirut : Dar al-Khayr, m.s. 70). Ini berdasarkan firman Allah S.W.T dalam al-Quran, (surah al-An’am : ayat 145) . Ayat tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa daging babi adalah haram untuk dimakan. Para ulama juga telah bersepakat bahawa anggota lain dari babi seperti tulang, kulit, lemak dan juga darahnya adalah haram untuk dimakan. Hanya Ibn Hazm al-Zahiri sahaja yang mengatakan anggota selain daging babi adalah halal dimakan.
Pendapat ini walaubagaimanapun adalah pendapat yang syadh (ganjil) dan tidak diterima oleh jumhur (majoriti) umat islam.

Para ulama islam juga bersepakat tentang kenajisan daging babi dan juga segala yang bersumberkan babi. Walaubagaimanapun mereka berselisih pendapat dalam tiga perkara, yang pertama dalam kategori najis apakah ia najis mughallazah ataupun mutawasitah. Yang keduanya, cara bagaimanakah untuk menyucikannya, dan ini bergantung kepada kategori manakah ianya dianggap sebagai najis. Yang ketiga , mereka juga berkhilaf samada kulit babi, rambutnya dan juga tulangnya dan mana – mana bahagiannya adakah boleh digunakan setelah disucikan melalui proses dibagh (samak dengan air kapur).

Jumhur ulama berpendapat ianya tegolong dalam najis mutawasitah yang hanya memerlukan basuhan sekali sahaja jika tersentuh dengannya. Ianya sama seperti kenajisan darah, luka, nanah, tahi dan juga kencing. Bagi Imam al-Syafie pula, beliau berpendapat bahawa ianya adalah najis mughallazah yang sama sifat kenajisannya dengan anjing yang memerlukan tujuh kali basuhan, dan sekali basuhan dengan air tanah (al-Sya’rani, al-Mizan al-Kubra, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Cetakan Pertama, 1998M, jil. 1, m.s. 138).Pendapat inilah yang menjadi pegangan majoriti pengikut mazhab Syafie, kecuali Imam al-Nawawi dan juga yang bersependapat dengan al-Nawawi (al-Nawawi, al-Majmu’, Beirut : Dar Ihya al-Turath al-Arabi, jil. 4, m.s. 604).

Mengenai isu pengunaannya pula, jumhur ulama melarang pengunaannya samada sebagai perhiasan, beg, kasut, pakaian dan sebagainya kerana ianya adalah najis (walaupun mutawasitah) . Bagi sebilangan ulama Malikiyyah, Abu Daud al-Zahiri dan juga al-Syawkani, mereka melihat tidak ada kesalahannya untuk menggunakannya jika ianya telah melalui proses dibagh (ibid).

Yang menjadi pokok perbincangan di sini ialah mengenai kenajisannya dan juga cara menyucikannya yang menjadi satu bebanan kepada umat islam di Malaysia dan juga dalam sesetengah keadaan menjadi benteng pemisah selamanya antara kaum di Malaysia.

Doktrin yang membebankan ini sebenarnya hanyalah ijtihad Imam Syafie yang mengqiyaskan kenajisan babi dengan kenajisan anjing dengan kaedah “qiyas awla”nya (al-Syafie, Kitab al-Umm, Beirut : Dar Marifah, 1393H, jil. 1, m.s. 9). Logiknya menurut beliau, jika anjing yang tidak disebut pengharamannya secara jelas di dalam al-Quran wajib disucikan kenajisannya dengan cara samak (tujuh kali basuhan dengan basuhan pertamanya menggunakan tanah berdasarkan hadith riwayat Abu Hurairah yang direkodkan sahih oleh Muslim di dalam kitabnya al-Jami’ al-Sahih atau sahih Muslim, Beirut : Dar Ihya al-Turath al-Arabi, jil. 1 m.s. 161), maka babi yang telah diharamkan secara jelas di dalam al-Quran lebih utama untuk disucikan kenajisannya dengan cara tersebut.

Atas dasar inilah majoriti pengikut mazhab Syafie sehingga ke hari ini menganggap kenajisan babi adalah sama atau lebih berat dari kenajisan anjing.
Bagi jumhur (majoriti) umat islam pula hadith Abu Hurairah yang berkaitan dengan cara menyucikan kenajisan anjing jika anjing adalah semata – mata untuk anjing dan bukan untuk selainnya. Menurut mereka pengharaman daging babi (surah al-Maidah (5): 5) adalah berkaitan dengan persoalan makan dan tiada kena mengena dengan cara menyucikannya. Tambahan pula dalam ayat tersebut bukan hanya daging babi yang diharamkan, bangkai dan juga darah disebutkan bersama dengannya. Mengapa qiyas yang sama tidak digunakan untuk menggolongkan darah dan bangkai bersama anjing dan babi sebagai najis mughallazah ?

Yang lebih menarik lagi Abu Hurairah juga telah meriwayatkan hadith yang menunjukkan cara menyucikan bijana yang dijilat kucing dengan 3 kali basuhan. Mengapa tidak kucing pun digolongkan dalam najis mughallazah juga?
Kesimpulannya ijtihad ataupun pendapat Imam Syafie dalam persoalan cara menyucikan najis babi adalah tidak kuat dan tidak konsisten. Terdapat juga di kalangan imam mujtahid dalam mazhab Syafie yang menyangkal pendapat beliau dan bertegas menyatakan bahawa cara penyucian kenajisan babi adalah cukup sekadar basuhan sahaja sepeti najis – najis mutawasitah yang lain (kencing, tahi, darah dan bangkai). Antara yang terkenal dengan pendapat sedemikian ialah Imam al- Nawawi (lihat : al-Nawawi,opcit, jil. 4, m.s. 604 ). Pendapat beliau ini adalah sama seperti pendapat majoriti umat islam dan amat bertepatan dengan dalil.

Sayangnya sebilangan besar pengikut mazhab Syafie termasuklah majoriti umat islam di Malaysia amat berpegang kuat dengan pendapat Imam Syafie yang amat ganjil ini. Dalam keadaan kehidupan bersama rakyat berbilang bangsa dan juga dalam keadaan musafir ke negara di mana umat islam adalah minoriti doktrin ini amat membebankan umat islam. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ianya akan semakin menjauhkan bukan islam dari islam, malah di kalangan umat islam sendiri pun akan jauh dari islam kerana doktrin ini.

Sebagai contoh yang amat melucukan ialah bagaimana sebuah restoran milik bukan islam yang telah dibeli oleh seorang peniaga muslim sekitar tahun 90’an di Pahang. Majalah al-Islam telah merakamkan bagaimana mereka telah membasuh seluruh kedai tersebut dengan air tanah. Bayangkan bagaimana jika seseorang muslim membeli rumah pangsa atau kondominium dari seorang bukan islam ?, bagaimanakah dia ingin membasuhnya dengan air tanah , bayangkan lagi jika rumah tersebut di tingkat 30 …pastinya pihak pengurusan kondominium tersebut akan mengamuk dan seluruh kondominium akan banjir!!

Antara yang menjadi bebanan juga ialah keadaan saudara baru yang masih tinggal dengan keluarganya. Sering kita dengar suara – suara sumbang yang menyuruh saudara – saudara baru untuk meninggalkan keluarga mereka. Mana tidaknya, doktrin babi al-Syafie mengatakan mereka tidak boleh makan dirumah kerana pinggan mangkuknya ada najis dan mesti disamak. Rumahnya ada kesan babi, maka dia tidak boleh bersolat di dalamnya, emaknya dan bapanya makan babi, maka dia tidak boleh bersalaman apatah lagi mencium dan memeluk mereka. Bekas minum tidak boleh digunakan lagi kerana ada kesan babi, pendekata jika seseorang itu masuk islam bukan hanya agama dan akidah lamanya sahaja, malah dia terpaksa atau dipaksa untuk meninggalkan keluarga, rumah, saudara mara dan jika tidak keterlaluan ibu bapa mereka. Maka terjawablah persoalan mengapa tidak ramai orang bukan islam ingin memeluk islam!

Contoh yang lebih teruk lagi jika golongan yang mendokong doktrin babi al-Syafie ini ke negara majoriti bukan islam yang kuat makan babi seperti Jepun, Korea, Taiwan, Jerman dan negara – negara seumpamanya. Yang pasti mereka tidak akan boleh duduk di kantin, mereka tidak boleh makan di kedai – kedai makan walaupun mereka tidak memakan babi, mereka tidak boleh tinggal di rumah sewa kecuali selepas disamak, mereka tidak boleh menziarahi rakan – rakan mereka yang bukan muslim dan akhirnya mereka hanya akan menjauhkan manusia – manusia lain dari islam itu sendiri. Relevan lagikah ijtihad al-Syafie yang semata – mata merupakan pandangan peribadinya sahaja yang boleh jadi salah ?

Persoalan ini memerlukan jawapan segera terutamanya dari kalangan ustaz – ustaz generasi baru yang telah terdedah kepada pembelajaran “Fiqh Muqarin” dan berfikiran terbuka. Penyelesaian segera demi menyelamatkan umat islam di Malaysia dari terus dibebani dan disusahkan dengan doktrin babi al-Syafie.

6 comments

  1. (Sori para pertama komen saya ni perkauman) Kita masih nak bertolak ansur lagi dengan kaum yang masih ingkar menerima Islam walaupun pernah menerima pancaran Islam oleh sahabat Rasullullah yang datang secara aman? Saya apologi dengan barat, kerana benar-benar mereka mengetahui Islam dengan pedang sejak zaman Rasullullah. Akan tetapi, bangsa Chin mengenal Islam dengan jalan diplomasi, tetapi hidayah tetap tidak dapat menembusi sebahagian besar mereka.

    Sekarang pergi kepada komen terhadap artikel ini. Sebaiknya saudara search hadith yang mengandungi kata “babi”. Nanti saudara akan jumpa sebuah hadith akhir zaman. Saya tidak dapat menyebutkan kitab mana buat masa ini, kerana kurang masa utk merujuk semula. Sibuk dgn FYP.

    Hadith itu berbunyi lebih kurang, yang Nabi Isa akan turun di akhir zaman dan akan membunuh babi. Ada beberapa perkara lagi yang baginda akan lakukan tetapi saya ingat babi kerana hadith ini membuatkan saya terfikir mengenai mengapa babi diharamkan oleh Imam syafie.

    Selain itu, bukti sainstifik banyak menyokong betapa bahayanya babi.

    Suatu skop yang saudara harus faham, bahawa babi hidup di padang pasar, justeru perilaku babi amat asing bagi dunia arab.

    Yang perlu kita ketengahkan sebagai pengkritik sosial, ialah “doktrin kebersihan melampau orang melayu”, sehinggakan bila sembahyang kena tukar baju dan pakai telekung!

    Saya tidak nampak ijtihad Imam Syafie yang menghambatkan kita. Sebaliknya hukum fikah yang disesuaikan dengan waqi’ (setempat). Jadi di Tanah Melayu, mengikut faham dan tradisi orang melayu.

    Orang melayu memang alergik dengan babi. Orang melayu akan mengambil pendapat yang keras tentangnya. Seperti mana berkasut semasa solat.

    Yang saya amat kesalkan ialah pada sebilangan pihak yang tidak mengenal sains sosial, tetapi cuba menjadi pengkritik sosial. Jadi ramai mengkritik tetapi melupai inti asal perbezaan itu berbilangnya bangsa manusia. Akhirnya ijtihad ulama dan agama pula yang disalahkan. Walaupun begitu, tidak susah bagi kita mempelajarinya kerana disiplin ilmu sains sosial diasaskan oleh Ibn Khaldum yang mengambil pedoman dari tauladan cerita al-quran dan hadith.

    Yus, tulisan saudara lebih mengkritik sosial melayu, yang mana banyak inti pendapat itu saya setuju. Saya tidak bersetuju ialah cara menggunakan pendekatan hadith secara literal sebagai bahan mengkritik, tanpa mengambil “wisdom behind it”.

    Saya teringat perkataan rakan saya, seorang pengkritik bangsa melayu, “bila Islam datang ke tanah melayu, bukannya sangat orang Melayu jadi Islam, tapi Islam yang jadi Melayu”


  2. Assalamualaikom,,pertama2 saya mahu beritahu bahawa artikel ini bukan saya yang tulis,walaubagaimanapun saya setuju dengan tulisan ini.
    berkenaan dengan hadis yang saudara sebutkan,saya tidak boleh ambil pusing lagi kerana saudara tidak sertakan darjat hadis tersebut dan matannya.Oleh itu saya mengaangapnya ia adalah hadis yang daif(ini mengikut displin ahli hadis dimana jika sesuatu hadis itu tdak diketahui lagi darjatnya maka hadis tersebut digolongkan sebagai daif dan tidak boleh dijadikan hujah utk berhukum)..Berkenaan dengan “Orang melayu memang alergik dengan babi. Orang melayu akan mengambil pendapat yang keras tentangnya. Seperti mana berkasut semasa solat” adakah saudara mahu memelayukan islam atau mengislamkan melayu tu sendiri.Jika ada hukum yang meringkannya kenapa saudara mahu memberatkannya.Saudara pernah tak membaca tulisan Imam syafiee(yang sebnrnya kitab2 imam syafie ditulis oleh anak muridbya antaranya Al-muzani) dan imam nawawi.Antara kata2 imam syafie yang mashur adalah “jika kau dapati ada pendapatku yang tidak selari dengan hadis yang sahih,maka campakkanlah pandaganku ke dinding”.Adakah anda masih mahu mempertahankan pandangan yang tidak selari dengan Quran dan sunnah.
    Saya mahu bertanya lagi adkah saudara sudah membaca kitab Feqh tahrah Yusuf Al-qardhawi bagaimana ia menerangkan untuk berhukum dalam masalah taharah??
    Para ulama yang menolak pandangan ganjil Syeikh Imam syafie ini bukan menolak dengan otak yang kosong,tapi merka menolak atas sandaran dalil2 yang kuat.Dan perkara ini bukan hanya diketengahkan oleh Ustaz mazlee tapi telah diketengahkan oleh ulama2 mktabar yang lain.Dan yang paling kuat adalah dari pandagan Imam Nawawi iatu anak murid Imam syafie yang paling mashur dan para ulama dizamannya menggelarkan beliau sebgai iMam Syafie kedua.Oleh tu dalam permasalahan ini kita bukan mengkritik mentaliti melayu tapi mengkritik mentaliti muslim dan khususnya di MAlaysia.Dan saya sarankan saudara baca artikel mengenai “bila Hajaj bin Yusuf assaqafi surrender dengan ayat Allah”..moga ia dapat membuka minda saudara dan cuba mengenali manhaj penulisan saya….WaAllahualam…….


  3. hadis bunuh babi takda kena ngena langsung dengan perbincangan taharah. Imam Muhammad Idris as-Syafi’i pun tak guna tu buat hujah kata babi najis mughallazah hehehe.

    nak Islam ke nak Melayu? kalo aku, aku pilih Islam.


  4. Nama saudara ni macam Nick name Muhammad bin Abdul Wahab la,,huhuhu,,,
    takper saya dah suruh saudara hanif bawakan hadis tu,,,pastu kita tgu saja hujahnya ,kerana kita sentiasa menerima perbincagan yang bersandarkan hujah dan bukan emosi.Dan saya juga senang menerima perbantahan dalam mana2 tulisan saya..oleh itu kita tgu dulu apa yang mahu saudara hanif mahu hujahkan ,,,,sabar ye saudara najd…waAllahualam…..


  5. Salam,ana baru terbaca artikel ini dan mempunyai beberapa pandangan tersendiri tentangnya.Ada pro dan kontra tentang penulisan Yus dalam bab ini kerana tidak dinafikan pemahaman tentang isu ini difahami jelas oleh penulis.

    Sememangnya benar bahawa pendapat Imam As-Shafie adalah berdasarkan ijtihadnya yang menyatakan bahawa kenajisan khinzir itu dengan mengunakan “qiyas awla”.Ulama berselisih tentang najis atau tidaknya daging babi, namun yang rajih (kuat) daging babi ini suci bukan najis. Ini merupakan pendapat Imam Malik dan Daud Adz Dhahiri. (Tahqiq fi Ahaditsil Khilaf, 1/70).

    Pendapat yang menyatakan daging khinzir itu adalah najis berdasarkan firman Allah dalam surat Al-An‘am ayat 145.Meraka yang berpendapat bahawa daging khinzir ini najis adalah kerana berpendapat perkataan “Rijs” dalam ayat di atas difahami dengan maksud “najis”.Sedangkan merujuk kepada konteks ayat tersebut makna yang sebenar dan lebih tepat adalah “haram”.

    Mereka juga berdalil dengan hadits Abu Tsa‘labah Al Khasyani yang menunjukkan perintah untuk mencuci bekas bejana ahlul kitab dengan alasan mereka menggunakan bejana tersebut untuk memasak babi dan untuk minum khamar. Maka dalil mereka ini dijawab bahwa perintah mencuci bejana di sini bukan karena najisnya tapi untuk menghilangkan sisa makanan dan minuman yang diharamkan untuk mengkonsumsinya. Demikian dijelaskan oleh Imam Syaukani dalam Sailul Jarrar (1/38).

    Sedekit penjelasan tentang isu artikel tersebut dan memang benar kefahaman penulis tentang isu ini.Cuma apa yang ana rasa contra di dalam penulisan ini ialah manhaj penulis dalam menyampaikan da’wah dan islah.Kebanyakan ayat dan perkataan yang dipilih adalah tidak molek untuk digunakan dan ana harap saudara Yus boleh mempertimbangkan kata-kata ini.

    Ayat-ayat seperti “majoriti umat islam di Malaysia amat berpegang kuat dengan pendapat Imam Syafie yang amat ganjil ini.” dan pengunaan slogan seperti “doktrin babi al-Syafie” adalah sangat kasar pada pandangan ana dan harap penulis(Yus) kelak lebih berhati-hati dengan pengunnan perkataan.

    Sesungguhnya ana sedar anta al-maklum dengan firman Allah:-
    “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu DENGAN HIKMAH dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.”

    Maka adalah lebih elok jika penulis menggunakan pendekatan yang berhikmah dalam berhujah.Ana telah mendapatkan pendapat beberapa rakan berkaitan perkataan-perkataan seperti itu.Dan kesemua mereka agak terkejut dengan slogan tersebut.

    Antara sikap penulis dalam penulisan yang perlu kita ada dalam melontarkan perbincangan perkara-perkara kontroversi yang telah sebati dengan masyarakat perlulah kita bijak dalam memilih perkataan supaya ia tidak mendatangkn ketidak puasan hati dalam diri pembaca.

    Jangalah pula ayat-ayat Yus nanti disalah fahami seperti memperkecilkan ijtihad Imam As-Syafie walaupun ana tahu bukan itu yang Yus maksudkan.Wallahua’lam.

    p/s:-Sekadar sedikt pandangan ke arah penulisan yang cemerlang=o)


  6. Assalamualaikom….terima kasih dengan komen ibnyusuf,dan saya tak sedar la pula penggunaan perkataan tu akan memberi kesan tidak baik dalam pennulisan saya..dan saya akan ambil perhatian tentang perkara tu..
    Dan saya memang tidak ada niat untuk memperlekehkan ijtihad Imam Syafie dan saya sangat menghormatinya sebgai ulama..dan terima kasih kerana faham degna perndirian saya dalam hal ini..cuma ada beberpaa perkara yang perlu saya perhalusi dan perbetulkan,,terima kasih degnan komen saudara……syukaran jazilan



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: