h1

Tauhid dan perbincangannya dalam ruang lingkup yan…

March 4, 2007

Tauhid dan perbincangannya dalam ruang lingkup yang luas

*sekali lagi terpaksa menunda untuk artikel mengenai syiah kerana saya berpendapat agar artikel mengenai tauhid adalah penting dari syiah,Jika akidah dah mantap setelah mempelajari tauhid insyAllah kita akan mudah untuk menangkis pelbagai dakyah yang menyesatkan.Dan saya akan menulis mengenai Syiah selepas habis tajuk ini saya utarakan.

Menurut definisi Bahasa Arab, kalimah tauhid ialah berasal dari kata kerja wahada (وَحَدَ) Atau masdar dari kalimah وَحَّدَ – يُوّحِّدُ – تَوْحِيْدًا yang membawa maksud: “Mengesakan” atau “Menunggalkan/Menjadikannya satu”. Antara pengertian tauhid ialah: “Menafikan yang berbilang-bilang”. Misalnya: (وَاحِدُ زَمَانِهِ) “Orang yang tiada duanya di zamannya, baik di bidang ilmu pengetahuan, kebijaksanaan atau kedermawanan dan lainnya”. Tauhid menurut pengertian bahasa ialah (اَلاِفْرَاد) “Yang Tunggal”.

Tauhid menurut ta’rif syara pula ialah:

· “Mengesakan Allah Ta’ala pada Rububiyah, Ilahiyah (sembahan) dan pada kesempurnaan nama-nama dan sifat-sifatNya”. Atau “Ilmu yang dengannya kita boleh memantapkan akidah-akidah agama dengan dalil-dalilnya yang bersifat mutlak”.

Ditakrifkan juga dengan: “Menafikan adanya sekufu (setara), setaraf dan semisal pada zat Allah, sifatNya dan perbuatanNya. Menafikan adanya sekutu pada penciptaanNya begitu juga dalam mengibadahiNya”.

Akidah dan tauhid adalah berlainan,tidak seperti yang kita faham sebelum ini diamana kita menyamakan tauhid dan akidah dalam erti kata yang sama.Sebenarnya kedua-duanya adalah berlainan kerana Akidah mencakupi ruang yang cukup luas berbanding dengan tauhid. Tauhid menetapkan kebenaran dengan dalilnya sahaja, sedangkan akidah disamping menetapkan kebenaran juga menolak syubahat, menjelaskan perkara-perkara yang merosak kesahihan suatu dalil yang berbentuk khilafiyah dan membahas agama secara terperinci.

Tauhid adalah pokok asas yang diutamakan nabi ketika memulakan misi dakwahnya pada masyarakat arab jahiliyah ketika itu.Dan apabila mengutuskan para sahabat untuk menjalankan misi dakwah baginda juga menekankan agar tauhid dilaksanakan dahulu,kerana jika tauhid dapat difahami dan didalami oleh manusia maka persoalan syirik tidak akan timbul dikalangan manusia.Antara hadis nabi mengenai pentingnya tauhid dalam proses dakwah ialah:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ رَسُـوْلَ اللهِ صَـلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا بَعَثَ مُعَاذًا اِلَى الْيَمَنِ قَالَ : اِنَّكَ تُقَدمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ اَهْلِ الْكِتَابِ فَلْيَكُنْ اَوَّلَ مَا تَدْعُوْهُمْ اِلَىاَنْ يُوَحِّدُوْا اللهَ.

“Dari Ibn Abbas radiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ketika mengirim Mu’az ke Yaman baginda bersabda: Engkau akan menghadapi satu kaum dari Ahli Kitab, maka jadikanlah pokok pertama dakwah engkau mengajak mereka sekalian supaya mentauhidkan Allah” [H/R Bukhari dalam “Tauhid”, (8/164). Dan Muslim dalam “Al-Iman”,]

Tauhid adalah satu konsep yang perlu difahami secara menyeluruh kerana persoalan ini berkaitan dengan akidah,dimana akidah itu tidak boleh didasari dengan penilaian akal tapi didasari dengan penilaian naqli iaitu quran dan sunnah.Inilah manhaj atau kaidah yang perlu dititik beratkan dalam memahami tauhid..

Tauhid juga lawannya syirik dan sesungguhnya tauhid yang sempurna ialah setelah berilmu dan memahami persoalannya sehingga menyedari dan mengiktiraf keEsaan Rabb (Tuhan), mengakui kesempurnaan sifatnya dan berikrar bahawa Allah itu Tunggal, memiliki sifat-sifat Yang Agung dan Maha Besar sehingga hanya Dia sahaja yang disembah (diibadahi).

Faedah mengenal dan memahami tauhid ialah ianya dapat menyelamatkan akidah dan amal ibadah seseorang hamba dari dicemari oleh apapun jenis kesyirikan. Syirik termasuk dosa yang paling besar yang tidak terampun jika pelakunya tidak bertaubat sebelum ia mati. Di akhirat kelak tergolong dalam kalangan orang-orang yang paling rugi kerana akan dikekalkan di dalam neraka. Tauhid merupakan hidayah (petunjuk) untuk seseorang semasa di dunia dan natijahnya dapat menghapuskan dosa-dosa yang menjadi penyebab seseorang itu ke neraka sebagaimana firman Allah:

اَلَّذِيْنَ ءَامَنُوْا وَلَمْ يَلْبِسُوْا اِيْمَانَهُمْ بِظُلْمٍ اُوْلَئِكَ لَهُمُ اْلاَمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُوْنَ.

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik) mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk”.

Al-An’am, 6:82.

وَقَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَـلَّى اللهُ عَلَـيْـهِ وَسَـلَّمَ : حَـقُّ الْعِبَادِ عَلَى اللهِ اَنْ لاَ يُعَذِّبَ مَنْ لاَ يُشْرَكَ بِهِ شَيْئًا.

“Hak seorang hamba dari Allah ialah tidak akan diazab sesiapa yang tidak melakukan kesyirikan terhadapNya dengan sesuatu”.

Bila kita menyentuh persoalan mengesakan Allah,kita akan tertanya-tanya bagaimana kita nak mengesakan Allah dan apakah cara yang disyariatkan oleh Allah dan rasul dalam persoalan ini.Persoalan ini sudah dijawab oleh Allah dalam quran,firmanNya :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ . مَا اُرِيْدُ مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا اُرِيْدُ اَنْ يُطْعِمُوْنَ . اِنَّ اللهَ هُوَ الرَزَّاقُ ذُوْ الْقُوَّةِ الْمَتِيْن.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai Kekuatan Sangat Kukuh”.

Az-Zariyat, 51:56.

Erti dari kalimah (يَعْبُدُوْنِ) “Mereka menyembah” pada ayat di atas ia memberi maksud (يُوَحِّدُوْنِ) iaitu: “Mereka (hendaklah) mengesakan (tidak menyekutukan) penyembahan dan apa sahaja jenis ibadah maka ia hanya untuk Allah

قُلْ اِنَّ صَلاَتِيْ وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِيْ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

لاَشَرِيْكَ لَهُ وَبِذَلِكَ اُمِرْتُ وَاَنَا اَوَّلُ الْمُسْلِمِيْنَ.

“Katakanlah! Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta Alam. Tiada sekutu bagiNya dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)”.

Al-An’am, 6:162-163.

Allah menciptakan manusia adalah kerana Allah mahu hambanya mengabdikan diri kepadaNYa berdasarkan firman Allah diatas.Allah tidak akan merasa rugi atau untung sekalipun jika para hambanya mahu melakukan atau tidak kerana pengabdiaan ini tidak lain dan tidak bukan adalah semata untuk kepentingan kita senidiri iaitu manusia dan sebagai ujian keatas kita daripada Allah.Allah mahu melihat setakat mana ketaatan kita padaNYA.

Tiada tuhan dan selainNYA dapat menandingi kekuasaanNYA.Firman Allah:

قُلْ هُوَ اللهُ اَحَدٌ . اَللهُ الصَّمَدُ . لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُوْلَدْ . وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا اَحَدٌ .

“Katakanlah! Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seseorang yang setara (sekufu/setanding) dengan Dia”.

Al-Ikhlas, 112:1-4.

Segala jenis ibadah jika dikerjakan dengan penuh keikhlasan hanya semata-mata kerana Allah, maka itulah yang dinamakan tauhid, sebaliknya jika untuk selainNya maka itulah pula yang dinamakan syirik besar yang boleh menyebabkan pembuatnya dikekalkan di dalam neraka.

Tauhid terbahagi kepada 3 iaitu tauhid rububiyah ,tauhid uluhiyah dan tauhid asma sifat.Pembahagian kepada 3 ini bukanlah berdasarkan pada akal atau perkara bidaah tetapi ia didasari kepada Quran. Tiga jenis tauhid ini: Tauhid rububiyah (توحيد الربوبية) , tauhid uluhiyah(نوحيد الالوهية) dan tauhid asma wa-as-sifat serta az-zat(توحيد الاسماء والصفات والذات) adalah tauhid yang telah disepakati oleh semua para ulama Salaf as-Soleh. Pembahagian ini tidak dapat diingkari kerana terdapat ayat-ayat yang terkumpul padanya pembahagian tauhid ini, iaitu kepada tiga bahagian (tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma’ wa-Sifat).Firman Allah:

رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَاْلاَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا فَاعْبُدْهُ وَاصْطَبِرْ لِعِبَادَتِهِ هَلْ تَعْلَمُ لَهُ سَمِيًّا.

“Tuhan (Rabb yang mencipta dan menguasai) langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya, maka sembahlah Dia dan teguh hatilah dalam beribadat kepadaNya. Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama (sifat dan zatnya) dengan Dia (yang patut disembah)”.

Maryam, 19:65.

Di ayat yang mulia ini dijelaskan bahawa Allah: “(Rabb) Pencipta dan menguasai segala-galanya sama ada yang terdapat di langit atau di bumi dan di antara keduanya”, maka inilah yang diistilahkan sebagai tauhid rububiyah. Kemudian diperintahkan kepada sekalian manusia agar: “Sembahlah Dia dan teguh hatilah dalam beribadah kepadaNya”, maka ungkapan inilah yang dimaksudkan dalam istilah tauhid uluhiyah yang sebenar. Dan seterusnya Allah bertanya di ayat ini: “Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan dia?” iaitu yang serupa sifat dan zatNya, maka ini adalah penjelasan tentang tauhid asma wa-sifat.

Oleh itu bila kita menulusuri tauhid ini maka kita akan lihat bahawa Allah tidak sama dengan makhluknya,seperti mana firman Allah : “Allah tidak sama dengan sesuatu pun”.

Dan pada artikel seterusnya kita akan membincangkan tentang Tauhid Uluhiyah dan Asma wa sifat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: