h1

Muharram – antara fadhilat dan kepalsuan

January 29, 2007



Muharram – antara fadhilat dan kepalsuan

Saban tahun fadhilat-fadhilat ini disebarkan melalui media-media tertentu. Kalau dahulu, perawi hadith-hadith palsu ini menyebar dari mulut ke mulut, tapi kini, perawi-perawinya semakin advance! Mereka cuma perlu menekan tombol FORWARD didalam perisian e-mail masing-masing……… “

Bulan Muharram merupakan bermulanya tahun baru didalam kalendar Islam. Artikel lalu telah membicarakan mengenai beberapa kelemahan fakta apabila membicarakan mengenai peristiwa hijrah Nabi :saw. Kelemahan-kelemahan ini adalah disebabkan oleh beberapa kitab-kitab sirah yang mengambil cerita berdasarkan kepada hadith-hadith dhaef.

Masyarakat kita telah didedahkan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini dengan upacara membaca do’a akhir dan awal tahun. Yang agak sedihnya adalah terdapatnya semacam janji syaitan kepada si-penerima do’a ini bahawa : “Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.” dan juga “Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan“.

Komentar kami adalah bahawa do’a ini tidak datang dari Nabi :saw, dan haram kita menyandarkan do’a kepada kepada Rasulullah :saw, kerana do’a ini tidak terdapat didalam mana-mana kitab sunnah. Mungkin persoalan yang timbul adalah : kepada siapa pula syaitan ini berjanji? Kami mengandaikan bahawa ini merupakan harapan dan cita-cita si-penulis do’a ini, dimana seolah-olah syaitan telah berjanji dengan dia.

Berasaskan minda yang terbuka, tidak ada salahnya membaca do’a ini, kerana maknanya pun tidak menyalahi syara’. Kita tidak perlu terhad kepada kaifiat yang didatangkan bersama-sama do’a ini, seperti kaifiat doa awal tahun hendaklah di baca selepas Magrhrib 1 Muharram. Disebabkan maknanya baik, tidak kiralah waktu dan hari apapun, baca sahajalah do’a ini dengan mengharapkan Allah mengkabulkan do’a tersebut.

Semua orang maklum bahawa do’a tidak perlu terhad kepada apa yang terdapat dari al-Quran dan hadith-hadith Nabi :saw sahaja. Ia merupakan manifestasi keikhlasan dan kesungguhan si pemintanya yang dilahirkan dari suara hati dan bait-bait perkataan. Asalkan ia tidak menyalahi syara’, tidak berbunga-bunga atau keterlaluan, maka bacalah apa sahaja do’a yang kita hajati.

Bulan Muharram juga terdapatnya hari yang dinamakan Hari Asyura’ yang berlaku pada 10 Muharram setiap tahun. Kebanyakkan kita banyak menerima e-mail yang menceritakan mengenai fadhilat hari Asyura’. Diantara fadhilat-fadhilatnya adalah :-

1. Melapangkan masa / belanja anak isteri. Fadhilatnya – Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin. Fadhilatnya – Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti
3. Menunjukkan orang sesat. Fadhilatnya – Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya
4. Menyapu / mengusap kepala anak yatim. Fadhilatnya – Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.
5 Bersedekah. Fadhilatnya – Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
6. Mandi Sunat. Fadhilatnya – Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu
7. Bercelak. Fadhilatnya – tidak akan sakit mata pada tahun itu
8. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali. Fadhilatnya – Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti
9. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadhilat – Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya.
10. Membaca – “ham biallahhu wa nik mal wa kila nikmal maula wa nikmannasiru”. Fadhilatnya – Tidak mati pada tahun ini.
11. Menjamu orang berbuka
puasa. Fadhilatnya – Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
12. Puasa – Fadhilat – Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Jika diberi penilaian kepada amalan diatas, hanya satu amalan sahaja yang sahih digalakkan kita melakukannya pada hari Asyura’, iaitu berpuasa. Akan tetapi, fadhilatnya yang menjanjikan ganjaran 1,000 kali haji adalah DUSTA! Fadhilat berpuasa terdapat didalam riwayat Abu Qatadah ra, beliau berkata : Rasulullah saw bersabda :

صوم يوم عرفة يُكفِّر سنتين: ماضية ومستقبلة، وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية

“Puasa pada hari Arafah menghapuskan (dosa) 2 tahun : yang lepas dan yang akan datang, dan puasa pada hari ‘Asyura’ menghapuskan (dosa) setahun yang lepas” -[Hadith diriwayatkan oleh semua kecuali al-Bukhari dan Tirmudzi, Nailul Authar, 4/323].

Punca-punca fadhilat amalan-amalan hari Asyura’ kebanyakkannya berunsurkan hadith-hadith yang sangat lemah dan palsu. Tidak cukupkah fadhilat berpuasa yang menghapuskan dosa kita lalu? Fadhilat mana yang lebih baik dari fadhilat Allah mengampuni dosa-dosa hambanya?

Berkata Imam Ibn al-Qayyim rh :-

أحاديث الاكتحال يوم عاشوراء، والتزين، والتوسعة والصلاة فيه، وغير ذلك من فضائل، لا يصح منها شيء، ولا حديث واحد، ولا يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم فيه شيء، غير أحاديث صيامه، وما عداها فباطل. وأمثل ما فيها: “من وسَّع على عياله يوم عاشوراء، وسع الله عليه سائر سنته”، قال الإمام أحمد: لا يصح هذا الحديث.

“Hadith-hadith tentang bercelak pada hari Asyura’, berhias, meluaskan sesuatu perkara, solat khusus pada harinya dan lain-lain kelebihan tidak ada sesuatupun yang sahih, Ia tidak thabit dari Nabi :saw mengenainya selain dari hadith-hadith tentang puasa. Perkara yang selain dari amalan berpuasa adalah Batil. Misalnya : “Sesiapa yang meluaskan memberi makan keluarganya pada hari ‘Asyura, Allah akan meluaskan untuknya sepanjang tahun.” [Fiqh al-Shiyam, al-Qaradhawi, ms 144].

Saban tahun fadhilat-fadhilat ini disebarkan melalui media-media tertentu. Kalau dahulu, perawi hadith-hadith palsu ini menyebar dari mulut ke mulut, tapi kini, perawi-perawinya semakin advance! Mereka cuma perlu menekan tombol FORWARD didalam perisian e-mail masing-masing. Kaedah penyebaran semakin moden, akan tetapi nilai-nilai ilmiyyah masih lagi di takuk lama. Kita masih lagi dihanyutkan dengan fadhilat bubur Asyura’.

Semua umat Islam harus menyahut seruan meneliti kesahihan sesuatu berita sebelum menyebar atau mengamalkannya. Jika kita lihat perkembangan kitab-kitab berbahasa Arab, walaupun judul dan pengarangnya merupakan sarjana-sarjana dahulu, akan tetapi kitab-kitab tersebut telah dinilai semula (tahqiq) dan pelbagai percetakan. Hadith-hadith yang terdapat didalam kitab-kitab tersebut telah di takhrij dan diberikan statusnya. Inilah kekuatan kesarjanaan Islam, saling memperkukuhkan diantara satu sama yang lain, dari zaman ke zaman.

Ayoh kawan-kawan sekalian, kita didik bangsa dan keturunan kita dengan ilmu-ilmu Islam yang tulen. Kita bukan sahaja memberi mereka makan makanan yang halal dan baik, kita juga memberikan rohani mereka makanan dari ilmu-ilmu Islam yang tulen, yang jauh dari kepalsuan. Jauhilah jiwa-jiwa mereka dari menghayati cerita-cerita yang tidak tidak ada sandaran. Persoalannya : apakah tahun hadapan kita masih lagi menjadi perawi digital kisah-kisah dusta ini??

petikan dari tulisan kamin(al-ahkam.net)
9 Muharram (28 Jan 2007), 5:20pm.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: